AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) sedia membuka ruang rundingan bagi pertukaran kerusi atau 'cross-swap' dengan rakan sefahaman politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun jumlah 21 kerusi dimenangi pada 2021 itu tetap perlu dipertahankan.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengulangi penegasan bahawa jumlah 21 kerusi itu adalah garis sempadan rundingan yang perlu dipatuhi parti atau gabungan yang berminat bekerjasama dengan BN.

"Ada beberapa kerusi sedang kita runding untuk dipanggil 'cross-swap' (dengan rakan sefahaman) tapi tetap (pertahankan) 21 kerusi yang dimenangi," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, rundingan berkenaan bertujuan membentuk satu pasukan lebih kuat dengan menilai sumbangan setiap parti yang mahu bekerjasama dengan BN.