jashadiqe@nst.com.my

Johor Bahru: Tahap jerebu semakin teruk di seluruh Johor malam ini, dengan semua lapan stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat, didahului oleh Segamat dengan bacaan IPU 179.

Setakat jam 8 malam, Pasir Gudang mencatatkan IPU 178, diikuti oleh Larkin (175), Batu Pahat dan Kluang (masing-masing 169), Kota Tinggi dan Pengerang (masing-masing 169), serta Tangkak (168).

Bacaan itu dilaporkan selepas kerajaan negeri mengumumkan kesemua sekolah di Johor akan ditutup selama dua hari mulai esok dan Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga.

Penutupan itu dibuat susulan titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali bertujuan melindungi kesihatan dan keselamatan pelajar.