JOHOR BAHRU - Semua sekolah di Johor ditutup selama dua hari bermula esok susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh daerah.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan berkenaan dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan serta kesihatan murid.Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan.Katanya, sekolah yang terlibat dengan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran akan ditangguhkan dan dijadualkan semula tertakluk ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pihak berkaitan."Kerajaan negeri memahami bahawa keputusan ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja. "Justeru, kerjasama dan pertimbangan para majikan amat dihargai untuk memberikan fleksibiliti yang bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing," katanya dalam kenyataan.Dr Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa.Beliau berkata, keputusan penutupan menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun keselamatan dan kesihatan anak-anak perlu menjadi keutamaan bersama.Sehubungan dengan itu, beliau menyeru ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah.Katanya, ibu bapa juga perlu memastikan pengambilan air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.Setakat jam 5 petang tadi, beberapa lokasi di Johor merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat, iaitu Segamat (179), Batu Pahat (177), Pasir Gudang (176), Larkin (172), Tangkak (169) Pengerang (167), Kota Tinggi (166) dan Kluang (165).- Bernama