KUALA LUMPUR: Badan kehakiman menyatakan sistem pembayaran wang jaminan mahkamah, e-Jamin, dibenarkan terus beroperasi bawah pengecualian yang diberikan oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan perkhidmatan kehakiman tidak terganggu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) memaklumkan bahawa pihaknya menyedari isu yang menyelubungi sistem itu sejak ia timbul pada Januari 2024, dan bekerjasama dengan semua agensi terbabit untuk menyelesaikannya.

"Berdasarkan arahan diberikan, sistem e-Jamin diteruskan selaras pengecualian diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"Ini bagi memastikan perkhidmatan kehakiman tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa e-Jamin beroperasi selama lima tahun tanpa sebarang kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.