PONTIAN: Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandu terbabas ke dalam sungai di Jambatan Parit Jawa, Kayu Ara Pasong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 pagi tadi, mangsa, 46, sempat menyelamatkan diri tanpa kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata mangsa dikeluarkan daripada dalam kenderaan oleh orang awam serta nelayan berhampiran.

"Mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut," katanya melalui kenyataan.

Berdasarkan maklumat awal, katanya mangsa dipercayai mengalami microsleep atau tertidur seketika ketika memandu menyebabkan kenderaannya terbabas dan terjatuh ke sungai.