am@hmetro.com.my

Kuantan: Tujuh suspek yang ditahan berhubung kes rompakan barang kemas bernilai RM1.7 juta di SkyAvenue, Genting Highlands, bulan lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan dalang rompakan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek berkenaan, termasuk seorang wanita, dipercayai boleh memberikan maklumat kepada polis bagi membantu mengesan dalang utama rompakan itu.

"Polis menahan suspek-suspek terbabit antara 20 Ogos hingga semalam di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk seorang yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

"Suspek termasuk tiga warga asing. Mereka berusia antara 25 hingga 64 tahun," katanya, hari ini.