Jakarta: Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia berterusan, dengan 1,201 kawasan panas direkodkan di seluruh negara pada Rabu, berkurangan sebanyak 158 berbanding hari sebelumnya.

Kementerian Perhutanan memaklumkan Kalimantan Tengah merekodkan 182 kawasan panas, tertinggi dalam kalangan enam wilayah keutamaan, diikuti Sumatera Selatan (71), Kalimantan Barat (34), Jambi (21) dan Kalimantan Selatan (18), manakala Riau tidak merekodkan sebarang kawasan panas.

"Kerajaan mengekalkan 61 unit udara dalam keadaan bersiap sedia, merangkumi 17 untuk operasi rondaan dan pembenihan awan serta 44 bagi pengeboman air, manakala operasi darat, pemadaman kebakaran, penghalang api, serta pembasahan dan penyejukan tanah gambut diteruskan bagi mengelakkan kebakaran daripada tercetus semula," menurut kementerian itu dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu.