KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC) menyeru kerajaan supaya mengiktiraf industri kurier sebagai infrastruktur penting kepada ekonomi digital dan ketahanan negara serta menyokong pembangunan berterusannya melalui Belanjawan 2027.

AMEC dalam kenyataan hari ini memaklumkan rangkaian kurier menghubungkan perniagaan Malaysia dengan pelanggan, membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran yang lebih luas serta menyokong perdagangan dan peluang pekerjaan di seluruh negara.

Menurutnya, perkhidmatan yang boleh diharapkan dan pada harga kompetitif penting kepada pertumbuhan perniagaan dan keperluan harian pengguna.

Presiden AMEC, Ronald Tan, dalam kenyataan sama berkata, ekonomi digital Malaysia bergantung kepada rangkaian penghantaran yang boleh diharapkan.