TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menggerakkan pasukan Counselor on Wheels bagi membantu institusi pendidikan menangani isu buli yang semakin serius melalui pendekatan pencegahan, kaunseling dan intervensi awal.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI memiliki kepakaran dalam bidang kaunseling, psikologi, pendidikan dan pembangunan sahsiah yang boleh dimanfaatkan untuk membantu institusi pendidikan berhadapan dengan isu berkenaan.

Bertindak segera, katanya, UPSI akan menghantar pasukan kaunseling ke Kuantan, Pahang dan Batu Pahat, Johor untuk membantu pihak institusi pendidikan dalam mendepani kes buli terbaharu.

Beliau yang melahirkan kesedihan dengan insiden yang berlaku akhir-akhir ini, berkata pendekatan menangani buli perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada tindakan selepas sesuatu kes berlaku.