LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang membimbing kelab meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama dalam tempoh 22 tahun musim lalu, menandatangani kontrak baharu sehingga Jun 2030, umum juara England itu hari ini.

Arteta yang mengambil alih ketika kelab berada dalam krisis pada 2019, menjadi tonggak kepada pelan pemulihan jangka panjang yang mengembalikan Arsenal sebagai antara pasukan terbaik di Eropah.

"Satu penghormatan besar untuk saya meneruskan masa depan bersama kelab ini dan terus bekerja dengan individu-individu luar biasa yang mahukan yang terbaik untuk Arsenal," kata Arteta dalam satu kenyataan.

"Kelab ini unik, begitu juga dengan karakternya dan perasaan yang dicetuskan kepada anda. Saya berasa amat bertuah kerana perjalanan kami bersama akan diteruskan," katanya lagi yang difahamkan menerima bayaran lebih £20 juta (RM107 juta) semusim, sekali gus menjadikannya pengurus bergaji tertinggi dalam EPL.