APABILA seorang anak menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti, surat tawaran itu selalunya membawa kegembiraan kepada seluruh keluarga.
Namun, beberapa ketika kemudian, pelbagai persoalan mula bermain di fikiran. Adakah wang mencukupi untuk pendaftaran? Bagaimana pula dengan buku? Kos pengangkutan? Komputer riba? Tempat tinggal?
Inilah realiti yang sering tidak kelihatan di sebalik gambar-gambar konvokesyen dan keputusan peperiksaan.
Pada 5 September, seramai 308 pelajar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh menerima Bantuan Awal Pengajian Tinggi berjumlah RM113,500.
Bantuan tersebut diberikan bagi membantu meringankan sebahagian daripada kos yang ditanggung oleh pelajar dan keluarga mereka, sama ada sebelum mahupun ketika memulakan pengajian.










