PUTRAJAYA- Malaysia mahu rundingan berhubung kaedah operasi bantuan bagi memadam kebakaran hutan yang berlaku di Indonesia sehingga mencetuskan jerebu rentas sempadan, dapat disegerakan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sudah diperoleh, namun kaedah operasi termasuk cara dan lokasi pasukan Malaysia untuk membantu masih dalam rundingan antara kedua-dua negara.
“Persetujuan daripada Presiden (Indonesia) sendiri telah pun diberi. Cumanya, bagaimana cara operasi itu agaknya yang sedang dirundingkan di antara kedua-dua pihak, kedua-dua negara.
“Saya berharap supaya rundingan operasi ini, cara mana dan di mana pasukan yang daripada Malaysia yang boleh membantu itu dapat disegerakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Program Diploma in Diplomacy (DiD) 2026 di sini hari ini.









