TEHERAN: Russia sudah memuktamadkan persiapan untuk menyalurkan pinjaman AS$1 bilion (RM4 bilion) kepada Iran, namun pemindahan dana itu masih tertangguh berikutan perbezaan pandangan dalam kerajaan Teheran.

Agensi berita Fars melaporkan, dana itu sedia dipindahkan sebaik sahaja Teheran menyerahkan butiran akaun bank yang diperlukan kepada Moscow.

Menurut media Iran itu, proses pembayaran sudah dimuktamadkan, tetapi perselisihan antara badan kerajaan Iran mengenai penggunaan pinjaman tersebut menyebabkan proses pemindahan tertangguh.

Pinjaman berkenaan pertama kali dilaporkan pada Jun dan merupakan ansuran pertama daripada pinjaman Russia bernilai AS$20 bilion (RM81.7 bilion) yang dirancang untuk Iran.