KUALA LUMPUR: Kejohanan ragbi berprestij COBRA 10s kembali untuk edisi ke-53 dengan saingan antarabangsa membabitkan 12 pasukan lelaki dari enam negara di Padang Astaka, Petaling Jaya, pada 31 Oktober dan 1 November ini.

Lebih menarik, edisi kali ini memperkenalkan COBRA 10s Carnival Weekend buat julung kali yang menggabungkan kejohanan utama bersama COBRA 10s Mini dalam sambutan ragbi membabitkan pelbagai generasi.

Sebanyak 12 pasukan lelaki elit dari Malaysia, Papua New Guinea, Australia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura akan berentap dalam saingan dua hari itu.

Selain kategori lelaki, kejohanan turut menampilkan enam pasukan wanita dan tiga pasukan veteran dalam aksi pameran.

Dalam masa sama, COBRA 10s Mini dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 pemain muda lelaki dan wanita, termasuk pasukan junior dari Singapura dan Sri Lanka.