KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesahkan tidak wujud unsur penyelewengan dalam pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui sistem e-Jamin dikendalikan syarikat pengendali sistem itu, Dapat Vista Sdn Bhd (Dapat Vista).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata kerajaan tidak menafikan terdapat beberapa kekurangan dalam pelaksanaan sistem e-Jamin, termasuk dari segi kontrak dan pelaburan wang jaminan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, setakat 2025, daripada lebih RM225 juta dikutip membabitkan 81,667 kes, tiada unsur penyelewengan dikenal pasti berdasarkan audit dijalankan.
"Menerusi sistem e-Jamin, wang jaminan yang didepositkan dipegang secara amanah oleh Dapat Vista bagi pihak penjamin sehingga keputusan perbicaraan kes dibuat.









