KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi autonomi untuk menentukan kaedah pembelajaran bersesuaian berdasarkan keadaan jerebu di kawasan masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keadaan jerebu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Menurutnya, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti boleh menilai keadaan setempat sebelum menentukan kaedah pembelajaran yang bersesuaian.
"Autonomi sudah diberikan kepada universiti, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara untuk melihat keadaan masing-masing.
"Kalau pelajar tidak dapat hadir ke kampus, mereka boleh menggunakan kaedah pembelajaran lain termasuk secara dalam talian," katanya.








