KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kembali menemui rentak apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka Artik selepas menewaskan pemain China, Dong Tian Yao, di Energia Areena, sebentar tadi.
Bekas juara Seluruh England itu menang 21-18, 21-14 dalam tempoh kurang satu jam, sekali gus melupakan kekecewaan tersingkir pada pusingan pertama dalam dua kejohanan terdahulu.
Zii Jia yang bermula dari pusingan kelayakan semalam berdepan tentangan sengit pemain nombor 40 dunia dunia itu pada set pertama, namun mula meningkatkan tempo permainan sebelum menamatkan perlawanan dalam dua set.
Kemenangan itu pastinya menjadi suntikan keyakinan buat pemain berusia 28 tahun berkenaan untuk meneruskan cabaran di Vantaa, Finland.









