PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang ahli perniagaan kerana merompak seorang jurutera dengan menggunakan gunting pemotong rumput sebagai senjata dan membabitkan kerugian lebih RM190,000, dua tahun lalu.
Panel tiga hakim membabitkan Datuk Azman Abdullah, K Muniandy dan Dean Wayne Daly sebulat suara menolak rayuan Nur Muhd Rusydi Abdul Raman, 34, terhadap hukuman yang sebelum ini dikekalkan Mahkamah Tinggi.
Azman ketika menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata, tiada alasan untuk mengurangkan hukuman berkenaan.
Katanya, ia mengambil kira seorang kanak-kanak turut dijadikan sebagai ancaman ketika kejadian, selain penggunaan senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.









