Kuala Lumpur: Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menipu seorang kontraktor membabitkan RM153,000 berkaitan tawaran nombor pendaftaran kenderaan DFQ1.
Ee Tuck Lian, 38, dan Wong Yoon Yee, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menipu Andrew Lim Jian Wei, 32, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa mereka menawarkan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa mendorong Lim memindahkan wang berjumlah RM153,000 menerusi tiga transaksi ke beberapa akaun bank berbeza di sebuah bank di Jalan Telawi 3, di sini antara 26 Mei hingga 17 Jun lalu.









