KUALA LUMPUR - Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang kontraktor membabitkan RM153,000 berkaitan tawaran nombor pendaftaran kenderaan DFQ1.Ee Tuck Lian, 38, dan Wong Yoon Yee, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menipu Andrew Lim Jian Wei, 32, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa mereka menawarkan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.Perbuatan itu didakwa mendorong Lim memindahkan wang berjumlah RM153,000 menerusi tiga transaksi ke beberapa akaun bank berbeza di sebuah bank di Jalan Telawi 3, di sini antara 26 Mei hingga 17 Jun lepas.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.Kedua-dua tertuduh, bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga serta memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November ini untuk sebutan kes. - Bernama