KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada usaha kerajaan untuk membangkitkan serta mempertimbangkan langkah bagi membeli semula hak cipta karya agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Presidennya, Zed Zaidi menegaskan bahawa P Ramlee bukan sekadar seorang seniman, sebaliknya adalah sebahagian daripada identiti serta warisan seni negara yang karya-karyanya mesti terus dilindungi dan dihargai generasi masa depan.

"SENIMAN menyokong usaha kerajaan ini. Bagi saya pembelian semula hak cipta P Ramlee bukan sekadar soal pemilikan tetapi merupakan pelaburan untuk memelihara warisan budaya negara.

"Namun, selepas hak itu diperoleh, mesti ada pengurusan yang jelas dan teratur supaya karya tersebut dapat dimanfaatkan dengan baik," katanya kepada Harian Metro.