SERDANG: Orang ramai berpeluang mendapatkan saringan kesihatan percuma dan konsultasi pakar daripada lebih 10 hospital serta institusi kesihatan menerusi MySihat Expo 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, mulai 9 Oktober ini.
Ekspo kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup bersepadu itu menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung, selain menghimpunkan kira-kira 200 reruai membabitkan penyedia perkhidmatan kesihatan, klinik serta rakan kecergasan.
Penganjur merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Moonman Events, Boo Dickson, berkata MySihat Expo 2026 dirangka sebagai platform sehenti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan secara proaktif, di samping menawarkan aktiviti untuk seisi keluarga.










