KUALA LUMPUR: Pengarah prolifik, Rashid Sibir, 59, mengalami masalah lutut akibat kekurangan gel pelincir atau cecair sinovial.

Rashid yang terkenal menerusi karya sarat emosi seperti Pondok Buruk, Quran Buruk berkata, dia menjalani prosedur kecil bagi menangani masalah itu.

"Alhamdulillah, saya sihat. Badan dan otak masih lagi baik, cuma mengalami sedikit masalah pada lutut.

"Setakat ini masih tidak perlu dibedah, tetapi saya menjalani prosedur biasa terlebih dahulu. Kita tengok bagaimana keadaannya. Kalau masih tidak sembuh, barulah saya perlu pilih prosedur penggantian sendi lutut," katanya kepada BH Online.

Menurut Rashid, masalah lutut yang dialami tidak menghalangnya daripada meneruskan kerja pengarahan seperti biasa.