KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan dan seorang pengarah syarikat yang dikaitkan dengan isu kelewatan pengagihan bekalan baja di Kedah, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, esok.

Ia susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin Pendakwa Raya untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap kedua-dua individu itu.

Prosiding kedua-dua orang kena tuduh (OKT) berkenaan masing-masing ditetapkan bermula jam 9 pagi.

"Prosiding pertuduhan itu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, pada 8 Oktober 2026 (esok)," katanya seperti kenyataan yang dilihat BH, di sini, hari ini.

Pada 12 September lalu, BH melaporkan, seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja yang dikaitkan isu kelewatan pengagihan input pertanian itu di Kedah, ditahan SPRM.