JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat dan pekerja kilang plastik dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah lori berwarna hijau, memandu secara berbahaya, menghalang polis, memiliki dadah dan cubaan membunuh, akhir bulan lalu.

Pengarah syarikat, Chai Min Quan, 37, dan pekerja kilang plastik, Low Boon Lai, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga majistret dan seorang hakim.

Di hadapan Majistret A. Shaarmini, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri sebuah motolori jenis CD45 milik seorang lelaki di parkir hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Mutiara, Taman Perindustrian Plentong, Masai, di sini pada pukul 7.40 pagi, 30 September lalu.