KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Ajiya Bhd, Ajiya Safety Glass Sdn Bhd (ASG), memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Esprit Care Sdn Bhd (ECSB) untuk menjual tanah perindustrian pegangan bebas di Puchong, Selangor pada harga RM58 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ajiya memaklumkan penjualan itu membabitkan sebuah kilang satu tingkat dan pejabat dua tingkat.
Tanah yang terletak di Taman Perindustrian Puchong Utama itu berkeluasan 1.35 hektar, dengan keluasan binaan kasar 9,839.52 meter persegi.
Menurutnya, harga jualan dipersetujui berdasarkan asas pembeli dan penjual yang bersedia, dengan mengambil kira nilai pasaran indikatif hartanah itu sebanyak RM40 juta, terdiri daripada RM27 juta bagi tanah dan RM13 juta bagi bangunan, seperti yang dinilai oleh CBRE WTW Valuation and Advisory Sdn Bhd.






