SEPANG: Seorang pemandu lori sampah terkejut selepas bungkusan berat diambil dari timbunan sampah di Sungai Balak, Kajang, sebenarnya mengandungi tiga bom mortar.

Lebih mencemaskan apabila pemandu lori Roll On Roll Off (Roro) berkenaan tanpa disedari membawa bungkusan itu pulang ke rumahnya di Kampung Dato' Ahmad Razali, di sini.

Md Raduan Ghani, 41, berkata beliau mula bekerja seperti biasa pada jam 4 pagi Jumaat lalu untuk memungut dan membuang sampah.

"Saya memandu lori ke Sungai Balak di Kajang untuk membuang sampah dan mengasingkan beberapa barang yang agak berat.

"Selepas selesai bekerja, saya pulang ke rumah dan bungkusan plastik merah yang saya asingkan sebelumnya itu masih berada di dalam lori. Saya langsung tidak tahu apa isinya," katanya ketika ditemui di luar rumahnya, malam ini.