KOTA BHARU: Kekangan membawa masuk pemain baharu tidak menghalang Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) memanfaatkan tempoh rehat hampir sebulan Liga Super untuk memperkemas skuad sedia ada bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Ketua Jurulatih KRW FC Irfan Bakti Abu Salim berkata tempoh rehat berikutan saingan Piala ASEAN FIFA itu dimanfaatkan untuk meningkatkan kecergasan, kelajuan dan daya tahan pemain, selain membina keserasian dalam pasukan.
"Sekarang ini kami memberi tumpuan kepada aspek kecergasan serta keserasian pemain sedia ada kerana kami masih lagi bergelut dengan masalah tidak dibenarkan membawa masuk pemain baharu.
"Tempoh ini digunakan untuk mengkondisikan semula pemain dari segi kelajuan serta daya tahan, selain mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.






