GEORGETOWN – Seorang pekerja kedai makan yang berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang remaja perempuan di dalam tandas sebuah pusat beli-belah, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Chuah Cheng Seng, 71, yang juga seorang pesakit kencing manis bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki yang terletak di tingkat dua sebuah pusat beli-belah, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 1 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.










