KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mendedahkan lima tangkap layar memaparkan pertengkaran di media sosial Facebook antara beliau dengan ibu tirinya, Noraidah Lamat, di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Malianah Mahathir, 25, memberitahu mahkamah dia menerima tangkap layar skrin berkenaan daripada bapanya, Mahathir Mohd Hashim, selepas bertengkar dengan ibu tirinya itu ketika beliau berumur 13 tahun.

"Bapa mengambil tangkap layar berkenaan dan menghantarnya kepada saya, jadi saya menyimpannya sehingga kini.

"Bapa menghantar tangkap layar itu kerana mahu tahu mengapa saya bertengkar dengan Mama Zara," katanya.

Saksi ke-81 itu mendedahkan perkara berkenaan ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Mohd Fairus Johari, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.