KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai bukti lain, sebelum membuat keputusan mengenai tindakan lanjut berhubung insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan perkara itu, selepas pihak AGC menerima kertas siasatan berhubung kes yang berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata semua bukti yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan akan diteliti secara menyeluruh bagi membolehkan pihak AGC menentukan langkah seterusnya.

"AGC akan meneliti setiap aspek siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil berhubung kes ini," katanya ketika dihubungi hari ini.