KUALA LUMPUR: Kesan jerebu rentas sempadan dijangka beransur berkurangan apabila negara memasuki fasa peralihan monsun mulai Jumaat ini, susulan perubahan arah pergerakan angin selepas berakhirnya Monsun Barat Daya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga akhir Oktober ini, sekali gus menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu.
Katanya, perubahan corak angin ketika fasa berkenaan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan dari negara jiran.
"Dengan berakhirnya musim Monsun Barat Daya, kesan jerebu rentas sempadan daripada negara jiran dijangka beransur-ansur berkurangan berikutan berlaku perubahan arah pergerakan angin," katanya dalam kenyataan, hari ini.









