Sibu: Tiga buaya berjaya ditangkap termasuk seekor sepanjang 4.75 meter dengan anggaran berat 500 kilogram di Batang Igan berhampiran Ulu Kampung Kebuaw sejak Ahad lepas.
Pemburu buaya berlesen, Jeferry Siew Seng Kwong berkata buaya terbesar itu ditangkap kira-kira 2.30 pagi tadi hasil operasi empat anggota pasukannya dengan kerjasama penduduk kampung.
"Penduduk meminta bantuan kami berikutan buaya kerap muncul di kawasan itu, termasuk kejadian menyerang anjing peliharaan sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.
"Selepas buaya itu ditangkap, penduduk turut membantu kami mengangkatnya ke atas bot," katanya kepada Bernama hari ini.
Jeferry berkata operasi bermula Sabtu lepas dengan dua buaya masing-masing berukuran kira-kira 2.45 meter dan 2.74 meter ditangkap pada Ahad dan semalam, manakala buaya terbesar berukuran 4.75 meter ditangkap hari ini.









