SEREMBAN – Polis menahan lima individu termasuk pemandu sebuah Proton Saga yang dipercayai terbabit dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 9.7 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) arah utara, Ahad lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berbangsa India, dengan pemandu kereta berkenaan ditahan di Bandar Seremban Selatan, Sungai Gadut.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, tangkapan itu hasil operasi khas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban yang dijalankan bermula pukul 3.30 petang semalam hingga 5 pagi hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati terdapat empat penumpang di dalam kenderaan terbabit ketika kejadian.