KUCHING: Tampines Rovers FC bersedia menghadapi cabaran Kuching City FC dalam aksi pembukaan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/27 di Stadium Taha Ariffin, esok, meskipun menyedari The Cats bukan lawan yang mudah.

Ketua jurulatihnya, Nazri Nasir berkata, Kuching City mempunyai kekuatan tersendiri selepas konsisten mempamerkan prestasi baik dalam tempoh tiga hingga empat musim lalu, selain dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti.

"Sudah tentu kami tahu Kuching City bukan pasukan yang mudah untuk ditentang. Saya fikir mereka beraksi dengan sangat baik, terutamanya dalam Liga Super Malaysia," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Taha Ariffin, hari ini.

Nazri berkata persiapan rapi dilakukan dengan meneliti corak permainan The Cats bagi memastikan skuad kendaliannya mampu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan berkenaan.