KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memperluas pasaran seni khat tempatan menerusi kerjasama dengan syarikat multinasional dan pelabur bagi membuka peluang ekonomi lebih besar kepada penggiat yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha itu penting bagi memastikan seni khat bukan sahaja dipelihara sebagai warisan kesenian Islam, malah dikembangkan sebagai bidang yang mampu menjana pendapatan kepada penggiatnya.

Beliau berkata, antara pendekatan yang dicadangkan ialah mempertemukan penggiat dan usahawan seni khat dengan syarikat multinasional serta pelabur berpotensi bagi meneroka penggunaan karya khat dalam pelbagai acara dan majlis rasmi.