KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membantu mengembangkan seni khat termasuk membuka peluang kerjasama antara penggiat dan usahawan dalam bidang itu dengan syarikat multinasional serta pihak yang berminat untuk melabur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu bertujuan mengangkat seni khat supaya turut memberi impak kepada kehidupan penggiat yang menceburi bidang itu.
Katanya, cadangan sudah dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mempertemukan penggiat dan usahawan khat dengan pihak yang melihat potensi pelaburan dalam seni itu.
"Visi kita adalah bagaimana hendak mempertemukan penggiat dan usahawan khat dengan syarikat multinasional serta pihak yang melihat potensi pelaburan untuk mengangkat seni khat, sebagai contoh dijadikan hadiah dalam temasya dan pertandingan.








