KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Januari depan bagi pendengaran permohonan semakan kehakiman bapa mendiang Altantuya Shaariibuu berhubung siasatan polis terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri.
Perkara itu dimaklumkan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev yang mana beliau memaklumkan tarikh baharu itu susulan responden dalam kes ini ingin memfailkan afidavit jawapan terhadap afidavit yang dikemukakan pihaknya hari ini.
Sangeet berkata, dalam hujahan bertulis, responden antara lain mengambil pendirian bahawa pemohon tidak pernah memberikan maklumat mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan oleh itu tiada kewajipan bagi pihak mereka memaklumkan status siasatan kepada pemohon.









