KOTA KINABALU: Sebanyak lima tangkap layar perbualan di Facebook yang memaparkan pertengkaran antara kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dengan ibu tirinya, Noraidah Lamat, didedahkan di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Tangkap layar berkenaan disimpan Malianah Mahathir, 25, selepas dihantar bapanya, Mahathir Mohd Hashim, ketika beliau berusia 13 tahun.

Saksi ke-81 itu berkata, bapanya menghantar bahan berkenaan kepadanya bagi mengetahui punca pertengkaran antara beliau dengan Noraidah yang dipanggilnya sebagai Mama Zara.

“Bapa mengambil tangkap layar berkenaan dan menghantarnya kepada saya, jadi saya menyimpannya sehingga kini.

“Bapa menghantar tangkap layar itu kerana mahu tahu mengapa saya bertengkar dengan Mama Zara,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Mohd Fairus Johari, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.