PETALING JAYA: Malaysia Auto Xpo 2026 (MAX 2026) menyasarkan nilai transaksi antara RM5 juta hingga RM10 juta sepanjang dua hari penganjurannya pada bulan depan.
Industri automotif tempatan bakal mendapat satu lagi platform yang menghimpunkan pemain industri, penggiat sukan permotoran, peminat kenderaan dan komuniti gaya hidup menerusi acara itu.
Ia dimiliki Alaf Sentosa Sdn Bhd dan dianjurkan Element X Strategies, yang sebelum ini mengendalikan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dari 2023 hingga 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Alaf Sentosa Sdn Bhd, Jason Yap, berkata sasaran berkenaan dibuat berdasarkan keluasan ruang pameran dan penyertaan daripada pelbagai segmen industri.
"Kami masih memuktamadkan beberapa penyertaan dan kerjasama, namun berdasarkan keadaan semasa, kami melihat angka itu sebagai sasaran yang realistik," katanya ketika ditemui pada sidang media MAX 2026.










