PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan, saham ditinggalkan kepada penerima manfaat di bawah wasiat, boleh dipindahkan melalui kuat kuasa undang-undang secara 'pemindahan hak' tanpa perlu melalui proses pindah milik saham biasa.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Wong Kian Kheong, bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan tiga penerima manfaat bagi harta pusaka mendiang Loh Wong Kim.

Wong Kim yang meninggal dunia pada 19 Februari 2015, memiliki 986,606 unit saham dalam Toong Yuen (Ipoh) Sdn Bhd.

Di bawah wasiatnya bertarikh 15 Disember 2010, aset beliau termasuk saham berkenaan, hendaklah dibahagikan kepada lima penerima manfaat mengikut kadar yang dinyatakan.