JOHOR BAHRU: Permintaan terhadap jubin di pasaran tempatan meningkat lebih 30 peratus selepas pandemik COVID-19 apabila pemilik kediaman semakin sanggup berbelanja untuk meningkatkan keselesaan dan penampilan ruang rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Feruni Ceramiche, Datuk Ngei Chee Chau, berkata perubahan corak kehidupan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong masyarakat memberi perhatian lebih besar kepada persekitaran kediaman, dengan trend berkenaan berterusan sejak 2021.

"Selepas PKP, kita dapati pemilik kediaman mula melabur lebih banyak wang untuk mencantikkan ruang di kediaman mereka. Jika dahulu bilik air atau ruang tamu sekadar dipasang jubin asas untuk kemudahan pembersihan, kini keadaan amat berbeza," katanya.