Kebanyakan kawasan di negara ini merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala kualiti udara lima kawasan di Malaysia Timur adalah baik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jerebu yang melanda negara selama hampir dua bulan dilihat beransur pulih pagi ini, dengan hanya satu kawasan di Perak merekodkan bacaan indeks pencemar udara (IPU) tidak sihat.

Setakat 8 pagi, Seri Manjung merekodkan bacaan IPU 101, yang baru memasuki paras tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 301 dan ke atas berbahaya.

Kebanyakan kawasan di negara ini merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala lima kawasan di Malaysia Timur menikmati kualiti udara baik: Miri, Labuan, Institut Latihan Perindustrian Miri, Limbang dan Kota Kinabalu.