KUALA LUMPUR: Hampir semua kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat jam 7 pagi, hari ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), 63 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana antaranya Shah Alam 95 ; Nilai (93), Cheras (92) serta Johan Setia dan Klang, masing-masing 90.

Di Sarawak, kualiti udara pagi ini juga merekodkan bacaan sederhana dengan bacaan di Sri Aman, 79, Samarahan (77) dan IPD Serian (76).

Sementara itu, sebanyak lima kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik antaranya ILP Miri, 49; Labuan (48), Miri (46), Limbang (36) dan Kota Kinabalu (33).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.