KUALA KRAI: Seorang penjual ikan didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengintai seorang wanita yang juga isteri jirannya, bulan lalu.
Majistret Rais Imran Hamid turut memerintahkan Tuan Ahmad Farid Tuan Mat, 36, dipenjara sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Lelaki itu didakwa menghendap mangsa berusia 26 tahun ketika sedang mandi, di sebuah rumah di Jalan Halimah Guchil di sini, kira-kira 11.30 pagi pada 28 September lalu dan perbuatan itu dilakukan dengan niat atau mengetahui ia menyebabkan mangsa mengalami ketakutan, kerisauan atau bimbang akan keselamatan diri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.










