KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman di Istana Pasir Pelangi, Johor, semalam.

Menurut kenyataan Facebook HRH Crown Prince of Johor, turut hadir ialah Pengarah SPRM Johor yang baharu, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid.

Pertemuan berkenaan diadakan sempena pelantikan Hazrul Shazreen yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

Pertemuan itu menyaksikan kepimpinan SPRM menegaskan semula komitmen agensi berkenaan dalam memperkukuh penguatkuasaan dan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tahap integriti serta tadbir urus di Johor.

"Pertemuan ini mencerminkan hubungan kerja berterusan di antara SPRM dan Institusi Diraja Johor dalam menyokong agenda integriti serta tadbir urus yang baik," menurut hantaran berkenaan.