SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi mencapai penyelesaian secara baik berhubung saman fitnah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.Menurut satu kenyataan media, Ketua Penerangan Pas Pusat itu berkata, persetujuan berkenaan dicapai bagi menyelesaikan pertikaian secara baik serta menamatkan isu tersebut supaya kedua-dua pihak dapat memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting, khususnya melibatkan kepentingan rakyat dan negara."Tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan atas semangat penyelesaian secara baik, Nabil mengambil pendekatan terbuka serta berlapang dada untuk memohon maaf kepada Ahmad Fadhli Shaari atas kenyataan yang telah menimbulkan pertikaian antara kedua-dua pihak."Langkah ini diambil dengan hasrat untuk menamatkan pertikaian tersebut secara baik dan membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan," menurut kenyataan itu.Menurutnya, kedua-dua pihak turut bersetuju menamatkan pertikaian berkenaan berdasarkan terma yang dipersetujui bersama.Sehubungan itu, Ahmad Fadhli bersetuju menarik balik saman yang difailkannya selepas terma penyelesaian direkodkan oleh mahkamah.Dalam prosiding tersebut, Ahmad Fadhli diwakili peguam, Mardhiyyah Johari dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan, manakala Nabil diwakili Khairul Naim Rafidi serta Asyraaf Abu Bakar Hamzah.Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Fadhli selaku plaintif menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada Nabil yang juga defendan berhubung satu hantaran di Facebook.Kenyataan itu didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja menerusi sebuah karikatur yang dimuat naik di laman sosial berkenaan.Hantaran tersebut memaparkan ilustrasi seekor haiwan yang digambarkan sebagai orang tengah antara dua haiwan lain, simbolik yang didakwa Nabil sebagai sindiran terhadap usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, namun tafsiran itu dinafikan oleh Ahmad Fadhli.Sindiran tersebut dikatakan merujuk kepada campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik antara Thailand dan Kemboja.