KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan terhadap peranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, beliau membuat laporan rasmi kepada SPRM Kuala Lumpur bagi memohon siasatan berhubung perkara itu yang didakwanya melibatkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.Menurutnya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini memaklumkan pada 1 Oktober bahawa pihaknya hanya mengetahui perkara berkenaan menerusi laporan media dan akan menjalankan siasatan selepas menerima aduan rasmi."SPRM mesti menunaikan kenyataannya dan memulakan siasatan secara bebas."Siasatan ini perlu menentukan sama ada kontrak dan komitmen kewangan dibuat sebelum pembiayaan yang mencukupi diluluskan secara sah, selain sama ada wujud penyalahgunaan kedudukan dalam mengarahkan atau meluluskan komitmen berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Zhemin berkata, berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan tahunan diluluskan sebanyak RM1.1 bilion.Katanya, pada 2024 pula, perbelanjaan meningkat kepada RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala RM2.3 bilion dibelanjakan pada 2025 berbanding RM1.6 bilion yang diluluskan."Perbezaan terkumpul antara peruntukan tahunan yang diluluskan dengan perbelanjaan sebenar berjumlah RM2.1 bilion," katanya.Beliau berkata, Kementerian Kewangan turut memaklumkan peruntukan KKDW bagi 2026 hampir dibelanjakan sepenuhnya menjelang Jun sehingga menyebabkan kesukaran dalam proses pembayaran kepada kontraktor."Peruntukan tambahan RM300 juta kemudiannya diluluskan, manakala penjimatan daripada kementerian lain sedang dikenal pasti untuk menampung keterlebihan komitmen KKDW," katanya.Sehubungan itu, Zhemin mempersoalkan sebab kontraktor yang sudah menyiapkan kerja masih belum dibayar dan mengapa Kementerian Kewangan perlu menyediakan peruntukan tambahan berkenaan.Katanya, SPRM juga perlu meneliti semua waran Perbendaharaan, kelulusan pindahan dalaman, kelulusan NOC, rekonsiliasi kewangan dan rekod kontrak berkaitan."SPRM juga perlu menentukan bila setiap pelarasan peruntukan diluluskan dan sama ada kelulusan itu diperoleh sebelum atau selepas liabiliti kontrak terkumpul," katanya.Tambahnya, SPRM perlu menentukan sama ada terdapat ketidakteraturan dalam pemilihan kontraktor, pemberian kontrak, pengesahan pembayaran atau rekod kewangan.Beliau berkata, jika dana tambahan diperoleh melalui pindahan yang sah dalam peruntukan Parlimen sedia ada untuk KKDW, dokumen berkaitan perlu dikemukakan."Jika jumlah perbelanjaan KKDW melebihi amaun yang diluluskan Parlimen, pihak berkuasa perlu menjelaskan mengapa proses perlembagaan bagi perbelanjaan tambahan atau lebihan tidak dilaksanakan," katanya.Zhemin berkata, perbezaan perbelanjaan berulang, kontraktor yang tidak dibayar, pembiayaan tambahan serta pelarasan yang tidak dijelaskan memberikan asas mencukupi untuk SPRM menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan, ketidakteraturan perolehan atau penyembunyian maklumat."Jika terdapat bukti berlakunya kesalahan, tindakan mesti diambil tanpa mengira kedudukan atau status politik seseorang," katanya.Turut hadir membuat laporan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ialah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau.
SPRM digesa siasat dakwaan perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion KKDW

Key takeaways
SPRM digesa siasat perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion dalam program KKDW yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri.
- Ahli Parlimen Kampar melaporkan SPRM mengenai perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion dalam KKDW.
- Perbezaan perbelanjaan antara peruntukan dan penggunaan sebenar mencapai RM2.1 bilion dari 2023 hingga 2025.
- Kementerian Kewangan menghadapi kesukaran membayar kontraktor walaupun peruntukan 2026 hampir habis.
Summarised automatically by AI from the original article by Sinar Harian. AI can make mistakes, so check the original for details.
Story details
- Published
- By
- MUHAMMAD AMINNURALIFF MOHD ZOKI
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
2 stories on this topic from 2 sources, oldest first.
- Sinar Harian SPRM digesa siasat dakwaan perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion KKDW (this story)









