KULIM – Cerita rekaan dua murid perempuan mengenai seorang rakan mereka yang kononnya keluar dari kawasan sekolah bersama lelaki tidak dikenali dengan menaiki motosikal mencetuskan kekecohan di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, murid perempuan berusia 11 tahun itu sebenarnya berada di dalam tandas sekolah dan tidak pernah keluar dari kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan seorang murid perempuan keluar dari sekolah bersama seorang lelaki dengan menaiki motosikal.
Katanya, siasatan awal mendapati pengadu yang merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan menerima maklumat daripada dua murid perempuan bahawa rakan mereka telah keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki.










