GEORGETOWN: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap anak majikannya dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini, minggu lalu.

Tertuduh berusia 71 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki yang terletak di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada 1 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.